top of page

BARAH PANGKAL RAHIM

Barah pangkal rahim, adalah barah yang kedua tertinggi kejadiannya di kalangan kaum wanita selepas barah payu dara. Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan program saringan bagi barah pangkal rahim ini. Program ini dipanggil sebagai Program Saringan Pap Smear. Program ini telah membantu dalam mengesan pada peringkat awal dan mencegah berlakunya kejadian barah pangkal rahim yang amat merbahaya.

​

Apakah barah pangkal rahim? Rahim adalah sebahagian daripada badan manusia di mana janin berkembang. Pangkal rahim berhadapan dengan saluran yang dipanggil faraj. Di dalam barah pangkal rahim, sel-sel di pangkal rahim bertindak secara tidak normal. Ia membesar membentuk bonjolan yang disebut tumor. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang dan merebak ke bahagian badan yang lain. Apakah faktor risiko barah pangkal rahim? Pertama, melakukan hubungan seks pada usia yang awal atau terlalu muda. Kedua, mempunyai pasangan seks yang ramai. Ketiga, mendapat jangkitan sejenis kuman iaitu virus Human Papilloma di pangkal rahim. Keempat, mempunyai sistem ketahanan badan yang lemah seperti mendapat jangkitan kuman HIV. Kelima, wanita yang berumur melebihi 40 tahun.

​

Di Malaysia, setiap tahun lebih kurang 1060 orang wanita dikesan menghidap barah pangkal rahim. Ia lebih kerap berlaku di kalangan wanita yang berumur 40 tahun ke atas. Ini kerana sel barah mengambil masa bertahun-tahun untuk terbentuk. Namun begitu, terdapat juga wanita yang lebih muda mendapat barah pangkal rahim. Keadaan ini berlaku kerana terdapat juga sel barah yang dapat terbentuk dalam masa yang singkat. Keenam, wanita yang menghisap rokok. Ketujuh, mengambil pil perancang melebihi 5 tahun bagi wanita yang telah dikenal pasti mempunyai jangkitan virus Human Papilloma. Dan akhir sekali yang kelapan, mempunyai anak yang ramai terutama bagi wanita yang mempunyai jangkitan virus Human Papilloma.

​

Apakah tanda-tanda menghidap barah pangkal rahim? Biasanya, tiada tanda-tanda awal yang dikenal pasti. Pada peringkat awal, barah pangkal rahim tidak menyakitkan. Wanita akan kelihatan sihat seperti biasa. Tanda-tanda bahawa barah pangkal rahim sudah berada pada peringkat bahaya ialah pendarahan dari saluran faraj yang berlaku di luar daripada masa datangnya haid atau darah kotor. Kedua, pendarahan dari faraj selepas melakukan hubungan seks. Ketiga, darah haid yang keluar dengan banyak dan berpanjangan. Keempat, keluar darah haid sedangkan wanita itu sudah putus haid. Kelima, keluar cecair dari faraj secara berlebihan. Keenam, sakit selepas melakukan hubungan seks. Dan akhir sekali, sakit pada bahagian pinggang, belakang, kaki dan turun berat badan secara mendadak berserta tanda-tanda yang telah disebutkan. Bagaimana melindungi diri anda daripada barah pangkal rahim? Ia boleh dilakukan melalui ujian pap smear. Ujian pap smear adalah mudah dan tidak menyakitkan. Ujian pap smear boleh mengesan barah pangkal rahim pada peringkat yang lebih awal. Rawatan yang mudah pada peringkat awal ini boleh membawa kepada penyembuhan sepenuhnya.


Kenapa ujian pap smear dilakukan? Ujian pap smear dilakukan untuk mengesan perubahan sel yang tidak normal di bahagian pangkal rahim. Mungkin anda tidak selesa untuk melakukan ujian ini tetapi ujian ini tidak menyakitkan. Anda akan diminta baring di atas katil pemeriksaan dalam kedudukan seperti hendak melahirkan anak secara kelahiran biasa. Doktor atau jururawat akan memasukkan alat yang dipanggil speculum di dalam saluran faraj. Alat ini akan membolehkan doktor atau jururawat melihat pangkal rahim anda. Kemudian, alat yang dipanggil spatula akan digunakan untuk mengambil sedikit sel daripada pangkal rahim anda. Sel-sel dari permukaan pangkal rahin ini akan diambil secara berhati-hati dan diletakkan di atas slide atau sekeping kaca. Slide ini akan terus dihantar ke makmal untuk kajian serta pemeriksaan di bawah mikroskop. Prosedur ini amat mudah dan cepat. Hanya beberapa minit sahaja, ujian pap smear siap dijalankan.


Berapa kali ujian pap smear ini dilakukan kepada seorang wanita? Pap smear dilakukan setiap 3 tahun sekali. Bagi wanita yang didapati keputusan pap smear tidak normal, ujian pap smear akan dilakukan lebih kerap lagi. Apakah keputusan ujian pap smear yang akan diperolehi? Bagi kebanyakan wanita, keputusan ujian pap smear adalah normal. Ini menunjukkan sel-sel di pangkal rahim tersebut normal atau sihat sepenuhnya. Bagi sesetengah wanita, sel-sel pangkal rahim ini mungkin kelihatan tidak normal dan mungkin menunjukkan peringkat awal barah. Apabila ini terjadi, ujian pap smear akan dilakukan sekali lagi dan jika perlu, pemeriksaan seterusnya akan dilakukan. Apakah tindakan susulan yang perlu diambil? Jika terdapat sebarang jangkitan oleh kuman atau kulat, seseorang wanita itu akan dirawat dengan memakan ubat.

​

Apakah rawatan untuk barah pangkal rahim? Jika dikesan di peringkat yang lebih awal, proses pembedahan untuk pembuangan sel barah tidak merumitkan. Pembedahan ringkas iaitu pembuangan rahim sahaja akan dilakukan atau dikenali sebagai simple hysterectomy. Bagi yang belum mempunyai anak, pembedahan seperti cone biopsy iaitu membuang hanya sel barah mungkin boleh dilakukan tanpa perlu membuang rahim. Tetapi jika sel barah pangkal rahim telah merebak lebih jauh, maka terpaksalah dibuang rahim. Pangkal rahim dan struktur organ wanita yang lain juga terpaksa dibuang. Kebanyakan kaum wanita yang tidak menjalani ujian saringan pap smear secara berkala akan dikesan mengihap barah pangkal rahim yang sudah di peringkat bahaya.

​

Apakah rawatan selanjutnya? Selepas pembedahan dilakukan, pesakit terpaksa menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi. Proses rawatan mengambil masa yang agak lama. Ini akan menyebabkan pesakit perlu berulang-alik ke hospital. Adakah terdapat sebarang langkah bagi melindungi seseorang wanita itu dari penyakit barah pangkal rahim? Kajian mendapati terdapat vaksin atau suntikan imunisasi yang dapat mencegah sehingga 70 peratus daripada jangkitan terhadap kuman virus Human Papilloma penyebab kepada barah pangkal rahim. Vaksin ini boleh didapati di klinik-klinik swasta di Malaysia. Jika anda ingin ketahui mengenainya, kunjungilah klinik kesihatan dan dapatkan nasihat daripada doktor. Jika terdapat sebarang sel pangkal rahim yang tidak normal, seseorang wanita itu akan dirawat atau dirujuk kepada doktor pakar untuk penyiasatan dan rawatan selanjutnya.


Barah pangkal rahim boleh dicegah. Jangan sampai terlewat. Anda mampu lakukannya. Lakukan ujian saringan pap smear secara berkala. Dapatkan keterangan dari klinik kesihatan yang berhampiran. Amalkan cara hidup sihat. Langkah awal, menyelamatkan nyawa.

​

​

Sumber artikel daripada Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia 

TANDA-TANDA DAN RAWATAN DEMAM DENGGI

APAKAH TANDA-TANDA DEMAM DENGGI?

  • Kebiasaannya demam akan terjadi pada hari ke tiga (3) hingga ke empat belas (14) selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti, kebiasaannya di antara 4 hingga 7 hari.

  • Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk/kuat, sakit pada bahagian belakang mata serta otot-otot dan sendi-sendi. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi.

  • Demam ini boleh mencapai suhu 40 - 41 C, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dikalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot dan sendi-sendi. Demam denggi ini juga dikenali sebagai "breakbone fever".

  • Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam.

  • Muntah dan kurang selera makan.

​

D1.gif

PEMASTIAN DIAGNOSA PENYAKIT

Antibodi akan dikesan di dalam darah (Dengue IgM) (Antibodi yang dihasilkan oleh sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan).

Ujian PCR (kaedah mengesan genetik virus) boleh mengesan virus denggi di dalam darah dan nyamuk boleh didapati di sesetengah makmal.

NSI antigen: Satu lagi test yang mengesan virus ini pada peringkat awal/demam.


RAWATAN

  • Segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.

  • Rehat dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.

  • Elakkan ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

  • Mandi jerlum.

  • Antibiotik tidak diperlukan.

​

​

Sumber daripada laman Web Rasmi iDengue

D2.jpg
bottom of page